Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/KPDN Labuan
LABUAN, 6 Jun (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menahan barang kawalan disyaki petrol bersubsidi dalam satu operasi Ops Tiris di sebuah Jeti tanpa nombor, di luar bandar Labuan semalam.
Menurut satu kenyataan KPDN Labuan, hasil serbuan pada pukul 9.00 pagi menjumpai dan menyita lebih kurang sebanyak 575 liter minyak disyaki petrol di dalam tiga buah tong drum di atas sebuah lori dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM1,180.
“Seorang lelaki warga tempatan berumur 58 tahun dipercayai pemandu lori berkenaan ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Risikan telah dijalankan selama tujuh hari dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana mengalih barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.
“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” menurut kenyataan itu.
-ZS-