Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Lebih 5,000 Anak Muda Membanjiri ‘Temu Anwar’ di Kelantan

By 19 Jun 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Dayang Siti Nurzuhairah Abang Ahmad Zaini/Azmi Omar (Bachok)

BACHOK, 19 Jun (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni lebih 5,000 orang anak muda pada program dialog ‘Temu Anwar’ bagi menjawab pelbagai soalan secara santai dan terbuka di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini semalam.

Menerusi program hampir dua jam tersebut, Anwar menjawab pelbagai soalan berkaitan isu semasa termasuk Kadar Dasar Semalaman (OPR), pendidikan, fasiliti sukan, pengangkutan bas, kebolehpasaran graduan dan sebagainya.

Pada program itu, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan segera sebanyak RM500 juta bagi mengatasi masalah air bersih di Kelantan susulan daripada perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri sebelum ini.

“Ini tidak asyik nak bergaduh saja, sedangkan rakyat hendak air bersih. Saya kata nak minta banyak sangat tidak boleh. Jadi kita mulakan projek, tetapi ia dikendalikan bersama Kerajaan Persekutuan dan Kelantan,” katanya.

‘Temu Anwar’ adalah program dialog anak muda bersiri yang dilaksanakan sejak 2009, bagi memberi ruang kepada segenap lapisan masyarakat terutama anak muda mengutarakan persoalan secara langsung kepada pemimpin tersebut.

Negeri Kelantan menjadi destinasi keempat bagi program tersebut selepas ia diadakan di Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada November lepas.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Kelantan Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan Datuk Prof. Dr. Razli Che Razak.

-ZS-

Tinggalkan komen anda