Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Masyarakat Orang Asli perlu Sentiasa Peka Tahap Kesihatan Diri

By 8 Jun 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Muhammad Naim/Siti Zuraida

JEMPOL, 8 Jun (Malaysiaaktif) – Masyarakat Orang Asli di daerah ini dinasihatkan supaya sentiasa peka dan prihatin terhadap tahap kesihatan diri.

Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Jempol Dr. Zazahulwani, pihaknya menganjurkan Program Latihan, Kesan, Analisis, Rawat dan Rujuk (LaKAR) Sungai Sampo 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Terbuka Kampung Sungai Sampo, di sini semalam bertujuan mengesan kes kusta dan tibi melalui pengesanan kes aktif (ACD).

“Program ini juga untuk meningkatkan pengetahuan serta memberi pendedahan tentang penyakit kusta dan tibi kepada masyarakat di sini.

“Penyakit kusta boleh menyebabkan kematian dan kecacatan serta penyakit ini juga boleh berjangkit dan memberi kesan kepada saraf, kulit dan membran mukus,” katanya.

Menurutnya, sejak tahun 2014 sehingga kini, kampung tersebut telah mencatatkan lima kes berkaitan penyakit kusta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui Mohd Razi Mohd Ali dalam ucapan perasmian program menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Kesihatan Daerah.

“Terima kasih kerana sanggup turun ke lapangan untuk mengesan awal pesakit dan juga memberi pendedahan kepada masyarakat kampung tentang penyakit-penyakit ini. Semoga usaha murni ini akan dapat memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Program anjuran dan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Jempol, Unit Tibi dan Kusta Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Panel Penasihat Klinik Kesihatan Serting Hilir, Jabatan Kemajuan Orang Asli Jempol dan Pejabat Penerangan Daerah Jempol turut dihadiri ketua-ketua jabatan di daerah ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda