Laporan/foto: Nazlia Naim/Ariza Mohamed Zaki (Seberang Perai Tengah)
PERMATANG PAUH, 1 Jun (Malaysiaaktif) – Berita baik buat penggemar raja buah terutama kepada penduduk di sekitar daerah Seberang Perai Tengah kerana boleh menikmati dan mendapatkan buah durian segar tanpa perlu ke seberang pulau.
Terletak berhampiran Bulatan Bukit Tengah, Bandar Perda lokasi jualan buah durian ini mudah diakses dan turut menyediakan kawasan parkir yang banyak. Selain itu, pelanggan yang datang boleh menikmati makan di sini kerana terdapat banyak meja dan kerusi disediakan untuk para pelanggan.
Salah seorang peniaga Mohd Ibrahim Rahman, 36, atau lebih dikenali sebagai Lebai, berkata durian yang dijual di sini merupakan buah yang diperolehi segar dari dusun.
“Ini merupakan musim pertama dan dijangka bekalan buah durian akan berterusan sehingga Ogos nanti.
“Terdapat tiga lagi pengusaha yang membuka gerai jualan di sini, bermula pada harga RM18 sekilogram kami menjual pelbagai jenis dan gred durian seperti Musang King, Khun Poh, Kacang Hijau, Black Thorn, Udang Merah dan lain-lain lagi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut beliau, semua gerai beroperasi dari pukul 1.00 petang sehingga 11.00 malam setiap hari. Pelanggan juga boleh menikmati buah durian bersama-sama dengan pulut dan santan yang turut dijual di sini.
“Tapak gerai ini merupakan inisiatif daripada Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah Tuan Kamarul Haizal Koderat untuk memberi peluang perniagaan dan menyediakan satu lokasi yang strategik kepada masyarakat untuk mendapatkan bekalan buah-buahan tempatan.
“Tapak ini juga dibantu oleh agensi FAMA Pulau Pinang bagi mempromosikan dan memastikan bekalan serta kualiti buah yang diedarkan adalah terbaik daripada pembekal,” katanya.
Siti Khadijah Sulaiman, 49, salah seorang pelanggan yang ditemui, berkata beliau datang dari Mak Mandin semata-mata untuk menikmati buah durian di sini.
“Saya tidak perlu ke seberang pulau lagi. Saya mendapat tahu tempat ini daripada kawan kenalan yang pernah datang ke sini minggu lepas, jadi hari ini kami pakat mai lah,” ujarnya.
-ZS-