Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Politeknik Nilai Tawarkan Tempat bagi Pelajar Lepasan SPM

By 9 Jun 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)/Norfazila Ahmad (PNS)

SEREMBAN, 9 Jun (Malaysiaaktif) – Sempena pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semalam, Skuad Politeknik Nilai turun padang mempromosikan Jom Masuk POLYCC kepada pelajar lepasan SPM 2022 di empat buah sekolah sekitar Negeri Sembilan dan Putrajaya.

Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) Politeknik Nilai (PNS) telah membuka kaunter informasi dan promosi kepada ibu bapa dan pelajar lepasan SPM mengenai peluang menyambung pengajian ke Politeknik dan Kolej Komuniti.

Pegawai Pengambilan Pelajar Politeknik Nilai Nurul Syafiqah Sulaiman, berkata sasaran utama PNS adalah dapat menarik seramai mungkin pelajar lepasan SPM untuk menyambung pelajaran di Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) pada peringkat sijil dan diploma.

“Program ini melibatkan 14 orang pegawai, yang terdiri daripada pegawai JHEP dan juga kalangan pensyarah akademik telah bertugas membuka kaunter pameran serta promosi di sekolah-sekolah yang telah ditetapkan. Antara sekolah-sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pagi, SMK Warisan Puteri, SMK Putrajaya Presint 9 (1) dan SMK Putrajaya Presint 18 (1).

“Selain mempromosikan program diploma dan sijil sedia ada di politeknik dan kolej komuniti, kami juga mempromosikan program yang sentiasa mendapat permohonan yang tinggi iaitu Diploma Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan (DLS) serta Diploma Hortikultur Landskap (DLH). Penawaran Program ini hanya ada di empat politeknik seluruh Malaysia, hanya PNS yang menawarkan Diploma Hortikultur Landskap (DLH),” kata.

Menurutnya lagi pembangunan kurikulum program tersebut direka bentuk dengan memberi penekanan kepada elemen amali dan praktikal.

“Fokus bidang yang ditawarkan adalah mengikut keperluan industri semasa. Tempoh pengajian bagi program pula adalah tiga tahun atau lima semester pengajian dengan setiap semester adalah selama enam bulan dan satu semester menjalani Latihan Industri.

“Pelbagai program menarik berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditawarkan di POLYCC mengikut minat dan bidang yang anda minati. Untuk maklumat lanjut layari ambilan.mypolycc.edu.my,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda