Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Tidak Stres Semasa Belajar Rahsia Capai Keputusan Cemerlang SPM

By 9 Jun 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 9 Jun (Malaysiaaktif) – Tidak stres semasa mengulang kaji pelajaran menjadi kunci kejayaan seorang pelajar mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Labuan, Radcliffer Lincoln Raymond, 17, yang mencapai keputusan 6A+ dan 3A, berkata tidak perlu merasa stres untuk menghadapi SPM.

“Kalau mau belajar jangan stres dan kalau masa bermain jangan lupa bahagikan masa untuk ulang kaji pelajaran.

“Saya ucapkan terima kasih kepada ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan dan kakitangan sekolah yang banyak memberi dorongan kepada saya sepanjang bersekolah di sini,”katanya yang ditemui selepas menerima keputusan SPM semalam.

Beliau yang bercita-cita menceburi bidang kejuruteraan turut bercadang memohon biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.

Sementara itu, bapanya Raymond Murus, 47, melahirkan rasa gembira atas kejayaan anaknya itu tambahan pula beliau merupakan alumni sekolah tersebut.

“Saya bersekolah di sini dahulu, ada benda yang tidak dapat saya capai tetapi anak saya hari ini dapat mencapai sesuatu yang jauh lebih baik daripada apa yang saya dapat dahulu,” katanya.

Seorang lagi pelajar cemerlang Mohamad Uzair Zuhri Mohd Sharif, 17, terkejut dengan keputusan yang diperolehi.

“Saya merasa bangga dan terkejut kerana tidak menyangka mendapat semua A dalam SPM. Kejayaan ini untuk ibu bapa, sekolah dan guru-guru yang mendidik saya.

“Saya berpegang kepada prinsip tidak menjadikan kegagalan sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan sebaliknya jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk berjaya,” katanya yang bercita-cita menjadi guru mata pelajaran Kimia.

Sementara itu, ibunya Salmie Mohamad, 45, merasa sangat terharu dengan pencapaian anaknya yang memperoleh 4A+,3A dan 2A- dalam SPM 2022.

“Sukar untuk saya gambarkan perasaan terharu, gembira dan bersyukur dengan keputusan yang diperolehi anak saya, semoga dia menjadi seorang yang lebih baik dan berjaya di masa hadapan,” kongsinya dengan penuh rasa syukur.

Seramai 28 orang calon di Labuan mencapai sekurang-kurangnya cemerlang A- dalam SPM 2022.

-ZS-

Tinggalkan komen anda