Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

10 Ribu Saksikan Perarakan Kapal Berhias Bersempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka

By 31 Julai 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING, 31 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai  10,000 orang telah menyaksikan perarakan kapal berhias bersempena sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka, di sini kelmarin.

Antara lokasi yang telah dibanjiri oleh orang ramai bagi menyaksikan perarakan tersebut ialah Tebingan Kuching, Pengkalan Sapi, jeti dan tebingan Kampung Boyan, Kampung Gersik dan Kampung Sourabaya.

“Saya sangat teruja dan gembira dapat menyaksikan perarakan kapal berhias ini,” kata Uma Devi Sinivasan, 31, yang hadir di Tebingan Kuching bersama 10 ahli keluarganya.

“Kami sekeluarga telah menaiki perkhidmatan e-hailing bagi mengelakkan kesesakan jalan,” katanya.

Sementara itu, Dayang Salmah Awang Mohammad, 85, yang tiba di Tebingan Kuching bersama anak dan menantu perempuannya berkata beliau tidak mensia-siakan peluang untuk turut sama menyaksikan perarakan tersebut walaupun menggunakan kerusi roda.

Kali terakhir perarakan tersebut diadakan ialah pada 10 tahun yang lalu.

Perarakan telah didahului oleh lapan penunggang jetski serta bot Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), diikuti 25 perahu tambang yang merupakan pengangkutan ikonik Sungai Sarawak dan seterusnya disusuli dengan perarakan 20 kapal berhias yang mewakili pelbagai kementerian, agensi dan syarikat swasta.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda