Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan/Nor Sofian Abdul Manan (Segamat)
SEGAMAT, 17 Jul (Malaysiaaktif) – Pelbagai jenis barangan telah dijual pada harga yang rendah dan menjimatkan antara 10 hingga 30 peratus dalam Jualan Rahmah Kasih Sayang Terbuka bermula 15 hingga 16 Julai lalu Dewan Semai Bakti Felda Pemanis 1, di sini.
Program Jualan Rahmah (PJR) ini dilaksanakan melalui kolaborasi bersama pasar raya bertujuan untuk merancakkan sektor ekonomi peruncitan di samping membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis Anuar Abdul Manap, berkata ramai peneroka hadir membeli barangan keperluan asas dan sambutannya adalah sangat baik.
“Kebiasaannya sering lihat mana-mana PJR dibuat di pasar raya atau kedai runcit terpilih sahaja tetapi pada kali ini kita buat sedikit kelainan iaitu Jualan Rahmah DUN Pemanis dibuat di dalam dewan secara terbuka.
“Terima kasih diucapkan kepada kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana telah membawa barangan keperluan asas daripada Pasaraya Nirwana Segamat ke kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan menjual dengan harga yang murah,” ujarnya.
Salah seorang pengunjung, Sabtu Ibrahim, 64, berkata pada hari pertama, PJR mendapat sambutan yang memberangsangkan kerana harga barangan keperluan asas kurang daripada harga pasaran.
“Kalau boleh untuk penduduk luar bandar PJR sebegini boleh dibuat dua atau tiga bulan sekali kerana ketika rakyat di bawah sedang bergelut dengan kenaikan pelbagai kos, program ini dapat mengurangkan sedikit beban,” katanya.
Antara beberapa barangan keperluan asas yang dijual murah adalah beras RM11.90, minyak masak lima kilogram pada harga RM26.50 dan gula pasir dijual pada harga RM2.69 sekilogram.
Turut hadir Pegawai Penerangan Segamat Nor Sofian Abdul Manan dan Timbalan Ketua Cawangan KPDNKK Segamat Mohd Shazuary Md Sarip.
-ZS-