Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 17 Jul (Malaysiaaktif) – Superintenden Mohd Hamizi Halim kini merupakan Ketua Polis Daerah Labuan yang baharu.
Beliau menggantikan Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Ahmad Jawilla yang bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dalam satu Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Labuan yang berlangsung pagi tadi dan disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah (CP) Datuk Jauteh Dikun.
Sementara itu Datuk Jauteh Dikun dalam ucapannya menyeru para anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan agar menghayati enam nilai teras Malaysia Madani iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, keyakinan dan Ihsan.
“Kesemua teras dalam Malaysia Madani ini mampu menjadikan Polis Diraja Malaysia sebagai sebuah organisasi yang ada kemantapan dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya.
Selain itu beliau turut mengharapkan kesemua warga IPD Labuan untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada kepimpinan baharu dan tidak membanding-bandingkan dengan kepimpinan yang lama selain sentiasa menjaga integriti sepertimana yang disarankan oleh Ketua Polis Negara.
Superintenden Mohd Hamizi Halim sebelum ini menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Tuaran dan Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan.
-ZS-