Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 17 Jul (Malaysiaaktif) – Rakyat yakin kerangka dasar baharu untuk negara dengan konsep Madani dapat membawa perubahan besar kepada negara, terutama dalam merencanakan kepentingan rakyat.
Pempengaruh media sosial Wan Mahussin Wan Hussin, 38, berkata konsep Malaysia Madani wajar diterima sebagai salah satu pendekatan yang waras dan praktikal bagi menangani pelbagai masalah yang kini melanda rakyat dan negara.
“Saya percaya konsep ini menawarkan peluang dan cara untuk menangani pelbagai masalah yang membelenggu rakyat dan negara sekarang,” katanya selepas memberikan ceramah, di Dataran Permata, Kampung Baru, Seberang Takir, di sini baru-baru ini.
“Madani sememangnya sudah sekian lama diungkap serta dipopularkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ini memberi keutamaan kepada soal keyakinan dan kemanusiaan,” tambahnya.
Bagi peserta yang hadir, Rohana Ali, 60, berkata pendekatan memberikan penerangan secara terus dengan turun ke lapangan seperti ini akan membantu orang ramai lebih memahami konsep madani ini dengan lebih jelas.
“Konsep Madani ini akan dapat dilaksanakan dengan mudah apabila rakyat seperti kami lebih jelas dan ia akan menjadi strategi tata kelola dan pentadbiran negara secara berkesan, menekankan kepada pemerkasaan ekonomi serta budaya yang berteraskan nilai, etika atau akhlak,” katanya.
Sementara itu Arif Razali, 36, berkata beliau yakin hala tuju yang dibawa Perdana Menteri itu adalah usaha yang baik dan perlu disokong semua lapisan masyarakat.
Beliau yang juga pekerja kerajaan, berkata dasar yang dibawa itu perlu seiring dengan usaha untuk merealisasikannya dan bukan hanya sekadar jenama kerajaan semata-mata.
-ZS-