
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Berry Taimin (Sabah)
KOTA KINABALU, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Semakin ramai usahawan mengeluarkan produk makanan nanas yang diolah mengikut selera masyarakat tempatan.
Menurut Pegawai Sumber Manusia dan Akaun Floresgam Enterprise, Patricia Lilian Jimmy Ginikol, 37, syarikat mereka memilih produk berasaskan nanas kerana sering digunakan dalam hidangan masakan serta kandungan vitaminnya.
“Sebenarnya banyak yang boleh kita proses dari buah nanas bermula dari kulit, isi, empulur dan hampas nanas. Setakat ini kami mengeluarkan lapan produk seperti jus, jem, nanas bilis berlada dan empat jenis sos iaitu sos lebihan pedas, sos masam manis, sos lada hitam dan sos lada putih.
“Sebagai contoh, nanas bilis berlada ini bukan saja sedap dimakan bersama nasi tetapi boleh digunakan sebagai perencah nasi goreng,” kongsinya ketika ditemui pada Hari Koperasi Negara (HKN), di sini baru-baru ini.
Tambahnya semua produk ini boleh diperolehi di pasar raya tempatan di sekitar negeri Sabah dengan harga yang berpatutan.
Patricia berharap agar masyarakat menyokong produk keluaran tempatan selain memberi peluang penanam nanas meningkatkan pendapatan mereka.
-ZS-