Laporan/foto: Irina Abd Samad/Muhammad Hafizuddin Abdul Halim
KUALA LUMPUR, 5 Jul (Malaysiaaktif) – Rawatan terbaik untuk merawat penyakit HIV/AIDS adalah dengan menggunakan kaedah Highly Active Antiretroviral Therapy (HAART) iaitu penggunaan ubat antiretroviral yang diambil setiap hari sepanjang hayat bagi mengekalkan kehidupan yang sihat.
Ia merupakan kombinasi ubat antiretroviral dari kumpulan yang berlainan iaitu dari kumpulan Nucleoside Reverse Transcriptase Inhibitors (NRTI), Non-Nucleoside Reverse Transcriptase Inhibitor (NNRTI) dan Protease Inhibitor (PI).
Menurut Penolong Pegawai Perubatan, Kaunselor Paramedik HIV/AIDS Klinik Kesihatan Cheras, Steven@Balasubramaniam Tambi Raja, secara amnya, semua klien akan memulakan rawatan dengan kumpulan NRTI dan NNRTI atau Integrase Inhibitor.
“Di Klinik Kesihatan, selalunya akan dimulakan dengan ubatan dari kumpulan NRTI dan NNRTI seperti Tenofovir Disoproxil dan Emitricitabine bersama tablet Efavirenz.
“Kepatuhan rawatan HAART adalah sangat penting bagi mengawal virus dari terus membiak sehingga dikekalkan pada virus tidak dikesan dan ianya ibarat ‘menidurkan virus’. Namun perlu diingat ubat ini tidak membunuh virus,” katanya di sini baru-baru ini.
Tambahnya, seseorang boleh mengekalkan kehidupan sihat seperti orang biasa dengan rawatan tersebut.
“Seseorang yang mengekalkan paras virus yang rendah tidak lagi akan menjangkitkan pasangan seksnya, namun penggunaan kondom adalah sangat digalakkan,” katanya.
-ZS-