Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Sketsa Rukun Negara Pupuk Semangat Patriotisme

By 29 Julai 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Nur Haziqah Nabilah (Kerian)

BAGAN SERAI, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Pertandingan Sketsa Rukun Negara merupakan salah satu daripada aktiviti komunikasi bersemuka anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) berkonsepkan seni lakonan dan penceritaan.

Menurut guru Noor Ashikin Abdullah, 54, aktiviti atau program seperti ini adalah baik dalam membentuk keyakinan dan keterampilan pelajar ketika berdepan dengan orang ramai selain dapat mengaplikasikan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian.

“Impak program ini adalah sangat besar kepada pelajar dalam membentuk jati diri dan semangat kecintaan yang tinggi kepada negara.”

“Tidak lupa ia juga dapat melahirkan pelajar yang proaktif melalui teknik komunikasi massa dan bersemuka,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mudzaffar Shah, di sini semalam bagi membantu sesi rakaman untuk pertandingan tersebut.

Sementara itu, pelajar Shaizatul Izzati Dzulkifli, 16, berkata program ini mendidiknya memahami erti setiap lima prinsip Rukun Negara.

“Antara pengajaran yang diperoleh melalui pertandingan ini adalah kerjasama dalam pasukan yang terdiri daripada pelajar berbilang kaum dan agama biarpun menghadapi pelbagai cabaran sepanjang latihan berlangsung,” katanya.

Pertandingan Sketsa Rukun Negara merupakan kerjasama antara JaPen dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha membentuk generasi yang bersatu padu dan mempunyai semangat cintakan negara.

-ZS-

Tinggalkan komen anda