Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)/Zarifh Intan Suhana Zulkifli (Putrajaya)
KEMAMAN, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan adalah tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini.
Kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 yang bermula di seluruh negara pada 16 Julai lepas membuatkan kemeriahan sambutannya sedikit sebanyak dirasai meskipun masih ramai dalam kalangan masyarakat dilihat belum mengibarkan Jalur Gemilang bagi menzahirkan semangat patriotisme mereka.
Kibaran Jalur Gemilang kini dilihat lebih tertumpu di bangunan kerajaan, sekolah dan di taman awam.
Samsiah Mat, 60, berpendapat sambutan yang kurang meriah meraikannya mungkin disebabkan negeri Terengganu baharu selesai menghadapi Pilihanraya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) ke -15, baru-baru ini.
“Saya lihat bendera-bendera parti masih banyak lagi dan belum ditanggalkan sepenuhnya di tiang lampu dan di persimpangan lampu isyarat,” katanya.
Warga emas Hoo So Boon, 73, berkata beliau mengambil inisiatif menggantung Jalur Gemilang di pintu masuk kedainya bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam dirinya sendiri.
“Sekali gus ia sebagai memberi semangat kepada penduduk di sekitar Kuala Kemaman untuk mengibar Jalur Gemilang,” katanya.
-ZS-