
Laporan/foto: Muhamad Hafizuddin Abdul Halim/Norfaizah Adnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Pejabat Ahli Parlimen Segambut, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) semalam telah mengadakan lawatan tapak di Jalan Segambut Dalam dibaiki dan dilengkapi infrastruktur yang berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kemalangan jalan raya.
Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal DBKL Fauziah Mohamad Ghazali, berkata pihak DBKL telah menjalin kerjasama bersama TNB bagi memasang tiang lampu jalan untuk memastikan kawasan yang kerap berlaku kemalangan tersebut cerah pada waktu malam.
“Selain itu, pihak DBKL juga telah memasang jalur bergetah di tiga lokasi dan bonggol jalan untuk mengurangkan kelajuan kenderaan di lokasi berdekatan,” katanya.
Inisiatif Pejabat Parlimen Segambut dan DBKL dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya di Jalan Segambut Dalam ini mendapat respons yang baik dari penduduk di Segambut.
Menurut Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Segambut Sub Zon 4, Budihardi Sabei, beliau menzahirkan rasa terima kasih pada pihak DBKL dan TNB kerana sama-sama membantu dalam mengurangkan kemalangan di Segambut.
“Terima kasih pada Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh yang banyak membantu dari segi kebajikan dan penambahbaikan infrastruktur di Segambut.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak DBKL dan TNB yang sama-sama memberi kerjasama dalam mengurangkan kemalangan,” katanya.
-ZS-