Laporan/foto: Norshazila Ahmad/A.Prabagaran
SHAH ALAM, 18 Ogos (MalaysiaAktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) telah membuka dua Pusat Media Bergerak di lokasi nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, bagi memudahkan rakan-rakan media mendapatkan maklumat yang tepat lagi sahih berhubung kejadian tersebut.
Menurut Pengarah JaPen Selangor Normaizatulakmal Tujad, Pusat Media Bergerak Japen telah mula beroperasi semalam sejak pukul 8.00 malam di lokasi nahas.
“Untuk makluman, satu lagi Pusat Media Bergerak Japen Selangor juga telah dibuka hari ini di perkarangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi memberi kemudahan kepada pengamal media yang berada di lapangan untuk menjalankan tugas mereka,” ujarnya.
Setakat pembukaan tersebut di Elmina, sebanyak tiga sidang media telah berlangsung melibatkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dan Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim.
-ZS-