
Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan/Muhammad Nazriq Hakimi Abd Gani (Segamat)
SEGAMAT, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap dengan kerjasama Kelab Usahawan Sahabat Ikhtiar (KUSIS) Segamat dan Pejabat Penerangan Segamat telah menjayakan program Kembara Merdeka Bermotor yang mana Tapak Pasar Tani Taman Yayasan Segamat dipilih sebagai lokasi pelepasan, baru-baru ini.
Wakil rasmi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap Datuk Bastien Onn, berkata program tahunan ini mendapat kerjasama yang erat daripada KUSIS Segamat, Pejabat Penerangan Segamat dan pelbagai agensi keselamatan.”
“Tujuan utama kembara ini adalah menerangkan pengertian bulan kemerdekaan kepada masyarakat sekeliling terutama di kawasan luar bandar,” ujarnya.
Menurut Pengerusi Kelab Usahawan Sahabat Ikhtiar Segamat Aida Atlah, tahun ini merupakan kali kedua kembara tersebut diadakan.
“Pada tahun ini KUSIS mendapat penyertaan yang begitu seramai sekali dengan kehadiran 150 orang peserta yang mengikuti kembara kali ini.
“Diharapkan penyertaan akan bertambah pada tahun hadapan,” ujarnya.
Salah seorang peserta Mohd Idris Tamrin, 31, berasa gembira dan teruja kerana kali pertama menyertai kembara yang penuh dengan pelbagai aktiviti dan berjaya mengeratkan silaturahim antara golongan muda dan tua.
“Harapan saya agar program ini diteruskan setiap tahun supaya dapat melahirkan semangat patriotik kepada semua lapisan umur dalam kawasan DUN Buloh Kasap,” ujarnya.
Antara pengisian program adalah ziarah kasih, penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf, pemasangan Jalur Gemilang, penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kampung dan pertandingan mewarna kanak-kanak.
-ZS-