
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) menganjurkan pertandingan sempena Bulan Kebangsaan bermula 14 hingga 25 Ogos 2023 dengan hadiah keseluruhan bernilai RM25,000.
Hadiah keseluruhan tersebut melibatkan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan, Pertandingan Video Tiktok Merdeka, Pertandingan Mobile Instagram Photo dan Pertandingan Silang Kata Online yang dilaksanakan secara atas talian dan bersemuka.
Menurut Pengarah JaPen Negeri Mohd Rizal Hashim, pertandingan ini dianjurkan bagi meningkatkan semangat patriotik yang tinggi melalui kreativiti, pengetahuan, dan menzahirkan rasa cinta rakyat kepada negara.
“Kesemua pertandingan ini dilaksanakan setiap tahun, khusus untuk rakyat negeri Perak bagi memberi ruang dan peluang kepada mereka melibatkan diri dalam aktiviti sempena Bulan Kebangsaan 2023.”
“Justeru, kami menjemput rakyat negeri ini untuk mengikuti dan menyertai pertandingan yang dianjurkan bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya pada sidang media Pertandingan Bulan Kebangsaan 2023 Negeri Perak di pejabatnya di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini semalam.
Maklumat lanjut mengenai syarat penyertaan boleh diperolehi di laman sosial rasmi Jabatan Penerangan Negeri Perak atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
-ZS-