
Laporan/foto: Mawarni Ismail/Firdhaus Akasyah Othman (Kerian)
PARIT BUNTAR, 19 Sep (Malaysiaaktif) – Masyarakat di daerah ini pastinya gembira dan berbangga apabila Galeri Kerian bakal beroperasi tidak lama lagi.
Pembukaan galeri tersebut bertepatan dengan usaha kerajaan negeri mempromosikan pelancaran Tahun Melawat Perak 2024.
Penghulu Mukim Parit Buntar selaku penyelaras galeri Azlan Che Lobe, 48, meluahkan rasa bersyukur dan teruja kerana setelah hampir 15 tahun merancang, baru kini impian tersebut bakal menjadi kenyataan dengan pembukaan Galeri Kerian.
“Tuan Pegawai Daerah yang mencetuskan idea agar Daerah Kerian mempunyai galeri sendiri dengan harapan ia dapat menjadi tarikan pelancong selain Ban Pecah dan Kuala Gula,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Azlan, dia berharap dengan wujudnya galeri ini juga para pengkaji sejarah akan berkunjung untuk melakukan kajian seterusnya dapat menaikkan sektor ekopelancongan di daerah ini.
-ZS-