
Laporan/foto: Lydia Humphery Tungkat/Norlia Mili (Sarawak)
SEMATAN (LUNDU), 14 Sep (Malaysiaaktif) – Lokasi 0 Kilometer di Telok Melano melakar sejarahnya yang tersendiri sebagai persinggahan terakhir bagi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Kembara Kenali Borneo (KKB).
KKB yang berlangsung selama 11 hari dan berakhir semalam menyusuri 2,154 kilometer Lebuhraya Pan Borneo adalah merupakan inisiatif Seri Paduka Baginda untuk mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak.
Menariknya, seawal pukul 7.00 pagi lebih 1,000 orang penduduk tempatan yang terdiri daripada pelbagai kaum, umur dan latar belakang telah setia menunggu keberangkatan tiba rombongan diraja.
Menurut salah seorang pengunjung, Johana Matsom, 49, yang berasal dari Kampung Sebat, di sini beliau sudah berangkat dari rumahnya seawal 6.30 pagi kerana tidak mahu ketinggalan menunggu keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda dan rombongan KKB.
“Seawal 6.30 pagi lagi sudah bertolak dari rumah dan pengalaman bertemu baginda dan rombongan diraja secara langsung tidak harus dilepaskan,” katanya.
Laungan ‘Daulat Tuanku’ bergema semasa baginda dan rombongan diraja berkenan mencemar duli beramah mesra dengan pengunjung di mana suasana seperti ini jarang sekali terjadi.
“Saya ingin bertemu dengan baginda serta rombongan secara bersemuka. Oleh itu, saya dan keluarga sanggup memandu dari Kuching,” kata Nurazlina Haibi, 47, yang mengetahui tentang KKB melalui media sosial dan berita televisyen tempatan.
Manakala seorang penduduk Telok Melano, Timah Bani, 62, berkata semua penduduk teruja apabila dimaklumkan kampung mereka antara lokasi yang akan dikunjungi Seri Paduka Baginda.
“Ini adalah peluang sekali seumur hidup dan belum pernah seorang raja mengunjungi kampung kami yang terletak di penghujung Borneo ini seperti yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong,” ujarnya.
-ZS-