Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurPutrajaya

Dah jumpa LRT Khas sempena Hari Malaysia 2023? Jom cari dan naik!

By 13 September 2023Tiada komen2 minit bacaan
LRT CerMY

Laporan/foto: Hisham Salleh (Putrajaya)

Kuala Lumpur, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah melancarkan sebuah tren LRT Laluan Kelana Jaya, bertemakan ‘Cerita Malaysiaku’, bersempena Hari Malaysia 2023 yang akan disambut pada 16 September ini.

Tren ‘Cerita Malaysiaku’ dibalut khas dan dihiasi dengan visual yang memaparkan pelbagai fakta dan maklumat, seperti simbol yang signifikan kepada negara seperti Bunga Raya, Harimau Malaya, tempat-tempat menarik dalam negara, makanan, pakaian tradisi, dan juga permainan tradisional.

Majlis pelancaran tren tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, dengan menaiki tren khas ‘Cerita Malaysiaku’ dari Stesen Universiti ke Stesen KLCC.

“Usaha ini selaras dengan usaha kita sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Jadi saya harap pada masa depan kita dapat hias lebih banyak koc di LRT, MRT dan laluan lain untuk menyemarakkan lagi rasa kasih sayang kepada negara,” ujarnya.

Beliau turut mengambil masa beramah mesra bersama penumpang, disamping mengedarkan Jalur Gemilang serta cenderahati.

Menurut Prasarana, Laluan Kelana Jaya dipilih kerana laluan tersebut mempunyai jumlah penumpang tertinggi, serta jajaran yang melalui kawasan-kawasan berkepadatan tinggi termasuk segitiga emas Kuala Lumpur.

“Langkah ini juga membuktikan bahawa penggunaan rel bukan sekadar membawa penumpang menuju ke destinasi, malah ianya boleh dijadikan sebagai platform penyampaian maklumat berguna kepada orang awam,” kata Prasarana.

Inisiatif ini adalah komitmen Prasarana dan Rapid Rail sebagai pengendali perkhidmatan rel di Lembah Klang, dalam menyokong usaha kerajaan mempromosikan sambutan Hari Malaysia.

-HS-

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda