
Laporan/foto: Marianne Inya Thomas/Lance Dunstan (Sarawak)
KUCHING 22 Sep (Malaysiaaktif) – Sarawak adalah contoh terbaik bagi teknologi hidrogen kerana merupakan satu-satunya wilayah di negara ini yang mempunyai teknologi tersebut.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang, berkata kementeriannya ingin mempelajari tentang teknologi itu daripada Sarawak yang paling terkehadapan dari segi teknologi hidrogen di Malaysia.
Chang semalam telah mengadakan lawatan rasmi ke Petroleum Sarawak (PETROS) Multifuel Station yang dioperasikan oleh SEDC Energy untuk melihat kemajuan Stesen Pengisian Hidrogen Bersepadu (Hydrogen Refueling Station).
Tambahnya, lawatan tersebut bertujuan menyaksikan perkembangan Stesen Pengisian Hidrogen milik Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang merupakan usaha penting dalam menggalakkan penggunaan hidrogen sebagai bahan tenaga bersih dan mampan di Malaysia.
Katanya lagi, beliau berharap MOSTI akan dapat melancarkan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) pada bulan hadapan sebagai langkah untuk mengembangkan usaha dalam ekonomi hidrogen serta mengetengahkan penggunaan teknologi ini bagi membantu negara membangunkan ekonomi.
-ZS-