
Laporan/foto: Juhannis Idris (Batang Padang)/Jabatan Penerangan
SUNGKAI, 22 Sep (Malaysiaaktif) – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melawat Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) dan Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL), di sini semalam.
Keberangkatan baginda diiringi Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam lawatan itu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima sembah taklimat oleh pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia mengenai operasi NWRC.
Baginda turut menyaksikan inisiatif konservasi hidupan liar di pusat itu melibatkan Harimau Malaya, beruang matahari, tapir dan seladang.
Seri Paduka Baginda juga berkenan melepaskan burung Murai Batu (Copsychus malabaricus) sebagai simbolik lawatan baginda menepati konsep 3R yang dilaksanakan di NWRC iaitu Rescue (Menyelamat), Rehabilitate (Rehabilitasi) dan Release (Pelepasan).
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
-ZS-