Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Usaha Perangi Denggi Bermula dari Rumah – ADUN Machang Bubok

By 26 September 2023September 29th, 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Halimah Abd. Ghani/Nazlia Naim (Seberang Perai Tengah)

BUKIT MERTAJAM, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Bagi menangani isu penularan wabak demam denggi yang agak membimbangkan di Pulau Pinang, satu Program Gotong-Royong Mega 2.0 dan ‘One Hour Malaysia Clean Up’ telah dilaksanakan di Perkampungan Machang Bubok, di sini kelmarin.

Program tersebut merupakan salah satu usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat bagi memastikan persekitaran selamat dan bebas daripada wabak denggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk Lee Khai Loon dalam ucapan perasmiannya, berkata semua pihak perlu memastikan kawasan rumah dan sekitarnya dalam keadaan bersih serta tiada tempat yang berpotensi untuk nyamuk Aedes membiak.

“Justeru, ketua masyarakat dan penduduk setempat perlu memainkan peranan penting bagi memastikan kawasan persekitaran bebas daripada wabak denggi sekali gus meluangkan masa membersihkan kawasan rumah dan sekitar bagi menghapuskan tempat-tempat yang berpotensi bagi pembiakan nyamuk Aedes.

“Penglibatan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Earth Home Malaysia dilihat satu inisiatif yang baik dalam membantu pihak kerajaan dan komuniti bagi menangani wabak denggi,” katanya.

Lee turut menyeru agar lebih ramai NGO terlibat dalam melaksanakan program sedemikian.

Program ini turut disertai oleh jabatan dan agensi kerajaan, barisan ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) Daerah Seberang Perai Tengah, Earth Home Malaysia dan masyarakat sekitar.

Pameran interaktif daripada Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah yang diadakan dan dilihat dapat meningkatkan kesedaran orang ramai berkenaan wabak denggi.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah Dr. Noraishah Jaafar, berkata Perkampungan Machang Bubok dipilih sebagai lokasi penganjuran program kerana kawasan tersebut mencatatkan kes demam denggi paling tinggi bagi Daerah Seberang Perai Tengah.

“Oleh itu, semua penduduk sekitar perlu lebih peka dan mempergiatkan usaha bagi memerangi nyamuk Aedes,” katanya.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah yang mewakili Pegawai Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah Zulkamal Hassan serta Ketua Balai Polis Machang Bubok Sarjan Mejar Zakaria Arshad.

-ZS-

Tinggalkan komen anda