
Laporan/foto: Fikri Johari (Larut Matang dan Selama)
KAMUNTING, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai lebih 200 orang peserta menyertai aktiviti ‘Fun Walk 10,000 Langkah’ sempena Program Kembara Perpaduan Jom Gerak Muhibbah Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Dataran KRT Taman Desa Jana, di sini pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Perak Mansor Mohamad Hashim berkata program ini berlangsung serentak di seluruh negara dan turut dilaksanakan di 12 lokasi di seluruh daerah.
“Aktiviti ‘fun walk’ ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk sekitar daerah Larut Matang dan Selama. Walaupun pada awalnya, sasaran hanya seramai 100 orang sahaja namun dianggarkan lebih 200 orang telah mengambil bahagian.
“Acara seperti ini diterima baik oleh semua golongan masyarakat tidak mengira kaum dan umur justeru saya berharap ia wajib diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya selepas membuat pelepasan program.
Tambah Mansor, pelbagai acara telah diatur oleh JPNIN sepanjang tahun ini antaranya Ziarah Rahmah, Jom Sihat, Jom Kibar Jalur Gemilang dan yang terkini ialah Jom Gerak Muhibah.
Pada masa sama, beliau turut menggesa orang awam untuk memantapkan perpaduan sedia ada bagi mengekalkan keharmonian dalam negara.
-ZS-