Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Liza Abdullah (Sabah)
TAWAU, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Kira-kira 5,000 warga Tawau berhimpun di Dewan Masyarakat Tawau meraikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Perbandaran Tawau, di sini semalam.
Sebanyak 64 kontinjen terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kampung, masjid sekitar Tawau serta sekolah menyertai perarakan bermula dari Dataran Majlis Perbandaran Tawau ke Dewan Masyarakat Tawau.
Dalam ucapan perasmian, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan, menyeru umat Islam agar sentiasa mencontohi Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan seharian.
“Kita hendaklah mencontohi sifat-sifat Rasuluullah SAW seperti siddiq, amanah, tabligh dan fathonah.
“Justeru, apa pun kerjaya dan bidang kita, ia perlu dilandaskan keimanan kepada Allah SWT dan mencontohi teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW,” katanya.
Mantan Presiden Majlis Perbandaran Tawau Datuk Ir. Haji Ambrullah Haji Kamal diumumkan penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul manakala Anugerah Khas Maal Hijrah dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) dianugerahkan kepada adik Nurin Nuha Mohd. Aziz.
Sementara itu, Johan Hafizah kategori 1-30 juzuk Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan, adik Dian Karisma Mohd Jaapar dipilih menerima Anugerah Khas.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung Datuk Hamild Awang, ADUN Kukusan Rina Haji Jainal, Ketua Polis Daerah Tawau Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Jasmin Husin dan para pemimpin tempatan.
-ZS-