Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Karnival Tanah Negeri Pahang Lakar Kejayaan

By 9 Oktober 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Juhaisa Azrin/Nur Bazilah

LIPIS, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Karnival Tanah Peringkat Negeri Pahang Tahun 2023 yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini melabuhkan tirai dengan pengumuman kejayaan kutipan hasil Kerajaan Negeri Pahang mencecah RM1.018 bilion pagi semalam.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hadir merasmikan penutupan Karnival Tanah Peringkat Negeri Pahang berkenaan di mana Karnival Tanah tersebut telah dilaksanakan di seluruh daerah di Negeri Pahang bermula Julai 2023 dalam usaha menyebarluaskan informasi mengenai tanah kepada masyarakat serta menggalakkan pembayaran cukai tanah oleh semua pihak.

“Terima kasih kepada mereka yang telah menjalankan tanggungjawab dengan melunaskan cukai tanah dalam waktu yang ditetapkan serta tahniah kepada semua pihak iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang dan semua Pegawai Daerah yang telah menjayakan Karnival Tanah ini.

“Hasil kutipan yang diperoleh ini akan dikembalikan kepada rakyat Negeri Pahang dalam pelbagai bentuk insentif dan bantuan,” ujarnya.

Penutupan karnival tanah tersebut telah diadakan dengan pelbagai aktiviti menarik, antaranya pembukaan kaunter kutipan hasil tanah, slot bicara tanah, Program Jualan Rahmah, diskaun kompaun, pameran jabatan dan agensi kerajaan, jualan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pertandingan memasak, demonstrasi membuat tanjak, demonstrasi masakan tradisional Lipis, pertandingan futsal, cabutan nombor bertuah dan gerai jualan.

Penampilan khas artis nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menambahkan lagi kemeriahan karnival berkenaan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda