Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Muhamad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 23 Okt (Malaysiaaktif) – Pengumuman diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 menunjukkan bahawa kerajaan cakna terhadap peminjam-peminjam yang bersungguh-sungguh membayar balik pinjaman walaupun mendepani masalah ekonomi.
Tinjauan Malaysia Aktif mendapati rata-rata belia meluahkan rasa syukur dan menzahirkan terima kasih dengan pengumuman tersebut.
Menurut Pegawai PTPTN Ismawani Abdul Aziz, pemberian diskaun itu menggalakkan lebih ramai peminjam untuk membuat bayaran balik.
“Alhamdulillah, sebab kalau kita tengok pada belanjawan hari itu memang ada diskaun oleh kerajaan untuk PTPTN.
“Antara tiga insentif yang diberikan, pertama diskaun 10 peratus kepada mereka yang buat bayaran penuh. Kedua, bayaran separuh juga akan mendapat 10 peratus. Manakala potongan gaji debit langsung akan menikmati 15 peratus setiap bulan,” jelasnya.
Beliau juga menyeru orang ramai agar mengambil peluang itu untuk membuat bayaran.
Pelaksanaan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN itu berkuat kuasa mulai 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac depan.
-ZS-