
Laporan/foto: Mazlin Basir/Nurul Ain Johari
BATU PAHAT, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor bersama Brothers Motor 3.0 telah mengadakan Program Ramah Mesra di Dataran Parit Sulong, di sini semalam bagi mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap golongan bermotosikal dengan penglibatan dalam aktiviti-aktiviti berfaedah.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan (ADUN) Sri Medan Zulkurnain Kamisan, golongan dewasa perlu menunjukkan tingkah laku baik iaitu dengan memakai topi keledar apabila menunggang motosikal di atas jalan raya kerana ianya secara tidak langsung mendidik golongan muda untuk patuh kepada undang-undang.
“Setiap program yang dijalankan mesti ada impak yang positif kepada anak-anak kita. Malah, polis ada hadnya melakukan tanggungjawab,” ujarnya.
Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat menekankan masyarakat untuk berhati-hati dengan penipuan atas talian yang banyak berlaku ketika ini.
“Kita diperdaya oleh ‘scammer’ seperti dipukau tetapi sebenarnya mereka bijak mempengaruhi pemikiran kita.
“Jangan layan orang-orang yang menggunakan pelbagai alasan dan menggunakan nombor telefon biasa hanya untuk memancing orang ramai bahawa ada bungkusan yang belum diterima,” katanya ketika menyampaikan ucapan.
Dalam pada itu, pihak PDRM juga mengadakan diskaun saman 50 peratus kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan kecuali kemalangan, saman berstatus op selamat, saman bicara mahkamah dan sebagainya.
Seorang ahli Brothers Motor 3.0 Juan Dol Alim, 56, berkata beliau sangat gembira dapat hadir ke program ini kerana dapat beramah mesra dengan anggota-anggota PDRM dan pada masa yang sama sangat bertuah kerana mendapat sumbangan topi keledar daripada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor M.Kumar S.Muthuvelu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid dan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Ismail Dollah.
-ZS-