Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Ekspedisi Kayak Berpasangan Tarikan Utama HSN Batang Padang

By 16 Oktober 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Juhannis Idrisl/Faizzad Kamal (Batang Padang)  

TAPAH, 16 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 70 peserta menyertai acara kayak berpasangan yang menjadi tarikan utama sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Daerah Batang Padang di Taman Malaysia, di sini pada Sabtu.

Perjalanan kayak secara santai sejauh 9.5 kilometer itu bermula dari Kampung Bermin dan berakhir di Taman Malaysia serta memakan masa hampir dua jam.

Menurut Pegawai Daerah Batang Padang Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori, acara sukan berakit yang dijalankan sebelum ini tidak dapat diacarakan apabila dilanda pandemik COVID-19 walaupun pada tahun 2020, acara tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

“Aktiviti bersukan secara berpasukan dapat merapatkan ukhuwah dalam kalangan penduduk kampung, taman dan komuniti.”

“Saya berharap aktiviti berkayak ini dapat diteruskan pada tahun hadapan selaras dengan usaha kerajaan negeri mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup.

Sementara itu, peserta Khairul Azhar, 38, berkata ini merupakan satu pengalaman yang mencabar namun memberikan kepuasan walaupun ia bukanlah satu acara pertandingan.

“Biarpun arus Sungai Batang Padang tidak deras namun bentuk alur sungai yang berliku serta dipenuhi pokok buluh di tebing sungai membuatkan ia mencabar sehingga menyebabkan beberapa kali kami terjatuh ke dalam sungai,” katanya.

Selain kayak, pelbagai acara lain turut dijalankan seperti ‘fun ride’ dan ‘fun walk’ serta pertandingan mewarna, baling damak dan tarik tali.

-ZS-

Tinggalkan komen anda