Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Koperasi dan Persatuan Jamin Masa Depan Industri Kraftangan Kampung Kobuni, Inanam

By 28 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak (Sabah)

KOTA KINABALU, 28 Okt (Malaysiaaktif) – Penubuhan koperasi dan persatuan di peringkat komuniti berjaya menyumbang kepada sumber ekonomi yang positif untuk industri pelancongan serta kraftangan di Kampung Kobuni, Inanam.

Terletak sejauh 13 kilometer dari bandar terdekat, kampung berkenaan memanfaatkan ekosistem semulajadi dan kreativiti sebagai produk pelancongan sekali gus mampu meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

Dalam pada itu, kampung tersebut turut melaksanakan aktiviti ekonomi pelancongan di bawah satu bumbung menerusi Koperasi Homestay Desa Cinta Kobuni melibatkan semua penggiat kraftangan manik, pakaian dan makanan tradisional kaum Dusun.

Pengusaha kraftangan manik, Junainah Latiff, 49, berkata kraftangan manik tradisional yang dihasilkannya menampilkan corak istimewa etnik di Sabah dengan padanan seni kreatif yang dipelajari sendiri melalui laman sosial Youtube.

“Selain corak tradisional etnik Sabah, saya juga membuat kraftangan manik dengan corak bunga dan ini memberi sedikit kelainan daripada hasil kraftangan yang lain sekali gus mampu menarik perhatian pelancong yang datang.

“Kadang-kadang saya belajar daripada Youtube bagaimana asas-asas pembuatan aksesori manik, lama-lama belajar pandai jugalah, memang mula-mula susah tetapi kalau sudah lama belajar akan pandai juga, saya membuat kraftangan ini pun sejak tahun 2010,” katanya kepada pemberita semasa menyertai pameran Program Kita Madani di Kampung Kobuni, Inanam, di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang tenaga pengajar kraftangan manik Kampung Kobuni, Edwina Masonggim, 34 tahun berkata, industri kreatif di kampung berkenaan turut melibatkan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah.

Tambahnya, selepas berhijrah ke Kampung Kobuni pada tahun 2009, wanita etnik Rungus itu berkongsi kemahirannya membuat manik kepada kaum wanita di kampung berkenaan sebelum mendaftar di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Sabah.

“Saya dari kecil lagi belajar membuat manik, sebab kami orang Rungus memamg terkenal dengan manik, saya berkahwin dan berhijrah di Kampung Kobuni pada tahun 2009, kadang-kadang saya mengajar penduduk di sini membuat kraftangan juga di bantu DIDR.

“Sekarang ini ada juga institusi kraftangan Sabah di Kota Belud untuk lepasan SPM mereka boleh belajar di sana selama enam bulan dan antaranya belajar membuat kraftangan rotan, serami atau manik selain di Sarawak,” ujarnya.

Untuk makluman, Program Kita Madani yang julung kalinya diadakan di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni Inanam pada 27 hingga 28 Oktober turut melibatkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Selain bertujuan menyampaikan agenda dan inisiatif Kerajaan Persekutuan, program berkenaan turut menggalakkan penggunaan platform digital kepada usahawan homestay berdaftar di Kampung Kobuni.

-ZS-

Tinggalkan komen anda