Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
KUALA KUBU BAHARU, 11 Mei (Malaysiaaktif) – Seorang warga emas Rosli Sarif, 75, menjadi individu pertama mendaftar di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, di sini hari ini.
Beliau yang hadir pada pukul 7.45 pagi berkerusi roda elektrik kelihatan bersemangat ketika menyemak di kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan nombor saluran.
Rosli, berkata beliau telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi lebih 20 kali sejak berumur 21 tahun.
“Ini adalah tanggungjawab kita sebagai warganegara untuk memilih pemimpin.
“Saya ambil keputusan datang awal untuk mengelakkan kesesakan dan cuaca yang tidak menentu sekarang,” katanya yang tinggal di Seksyen 3 Bandar Utama Batang Kali.
Rosli menasihatkan pengundi muda mengambil peluang keluar mengundi untuk masa hadapan mereka.
“Jangan pentingkan diri sendiri kerana mengundi untuk masa hadapan negara,” katanya yang mengidap angin ahmar dan jantung.
Pusat Pengundian SK Bandar Baru Batang Kali dibuka pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang mempunyai 3,183 pengundi berdaftar.
-ZS-