Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Rakyat Pahang Bangga Kerajaan Negeri Zahirkan Solidariti Palestin

By 29 Oktober 2023Oktober 31st, 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Radiah Rahim

KUANTAN, 28 Okt (Malaysiaaktif) – Rakyat Pahang daripada seluruh pelusuk negeri yang berhimpun bagi menyertai Himpunan Pahang4Palestin, di sini semalam berbangga atas usaha kerajaan negeri ini.

Ahli Majlis Bandaraya Kuantan Datuk Matndor Subbih, 53, berkata walaupun beliau berbangsa India dan beragama Hindu, namun beliau hadir bagi menzahirkan sokongan kepada usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pahang.

“Saya amat bersimpati dengan nasib yang dialami oleh rakyat Palestin dan mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh rejim zionis Israel dan saya amat berbangga dengan kepimpinan Menteri Besar Pahang kerana dapat melaksanakan perhimpunan ini,” katanya.

Menurut seorang suri rumah Syakila Abdul Latiff, 33, program seumpama ini bagus dan perlu diadakan selalu bagi menunjukkan rasa kecintaan dan simpati kepada rakyat Palestin.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri atas penganjuran himpunan ini kerana sokongan dan sumbangan juga perlu dilakukan secara terus-menerus agar rakyat Palestin terus kuat dan bertahan untuk menentang kezaliman orang Israel kepada rakyat Palestin yang tidak berdosa ini,” ujarnya dengan penuh bersemangat.

Bagi pengusaha TARIQ Cempaka Beach School Kuantan Tengku Shiela Tengku Kamal, 47, pula beliau terharu dengan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Ini merupakan program yang amat ditunggu-tunggu oleh semua rakyat di negeri ini.

“Pelajar-pelajar di sekolah saya diterapkan dengan semangat perjuangan dan diceritakan sejarah Palestin supaya mereka faham kenapa kita perlu membantu dan mempertahankan saudara kita di sana,” katanya.

Salah seorang generasi muda wakil Persatuan Pengakap Kelana Negeri Pahang Zulfadli Ismail, 22, berpendapat selama mereka kurang memahami persengketaan yang berlaku di bumi Palestin.

“Namun dengan adanya pendedahan yang telus di media sosial membuatkan kami lebih sedar dan perlu bangkit dengan menyeru golongan muda memberi sokongan moral serta membantu sedaya upaya kami kepada rakyat Palestin yang dicintai ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda