Laporan/foto: Juhannis Idris/Faizzad Kamal (Batang Padang)
TAPAH, 5 Okt (Malaysiaaktif) ā Lebih 200 orang peserta dari Perak dan Selangor mewakili Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) masing-masing dalam perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Felda Wilayah Trolak yang berlangsung di Masjid Jamek Felda Trolak Timur, di sini semalam.
Perarakan sejauh dua kilometer itu melibatkan 12 kontinjen dari Felda Besout, Felda Trolak Timur, Sekolah Kebangsaan Felda Trolak Timur, Felda Hulu Selangor dan Felda Hulu Perak.
Pengarah Felda Wilayah Trolak Shahariman Dolah Hashim, berkata program ini diadakan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memupuk semangat bersatu padu dan harmoni dalam kalangan masyarakat khususnya warga Felda sesuai dengan tema sambutan tahun ini iaitu āPerpaduan Teras Malaysia Madaniā.
āMelalui perbincangan, kesatuan dan kebersamaan yang kita wujudkan, warga Felda mampu menangani pelbagai isu dan masalah seterusnya mengekalkan keharmonian dari satu generasi ke satu generasi peneroka,ā ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup program.
Antara pengisian sambutan ialah pertandingan perarakan dan sepanduk serta ceramah bertajuk āMaulidur Rasulā yang disampaikan oleh Pengerusi Masjid Felda Sungai Behrang Ustaz Saiful Anam Alisaa.
Bagi pertandingan perarakan, Sekolah Kebangsaan Felda Trolak Timur memenangi tempat pertama sekaligus menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500 diikuti Felda Besout di tempat kedua dan Felda Hulu Selangor di tempat ketiga.
Felda Besout turut dinobatkan sebagai pemenang kategori sepanduk dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300.
-ZS-