Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Juragan dan 12 PATI Berjaya Ditahan Maritim Malaysia

By 5 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Unit Media Zon Maritim Tawau (Sabah)

TAWAU, 5 Okt (Malaysiaaktif) – Seorang juragan bersama 12 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana cuba memasuki perairan negara di kedudukan 1.2 batu nautika barat Jeti CIQ, di sini pada Isnin.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kapten Maritim Shahrizan Raman, berkata aset bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan Ops Pluto Timur, Ops Sejahtera dan Ops Tiris di sektor operasi telah mengesan sebuah bot bergerak laju dalam keadaan mencurigakan dari arah Pulau Sebatik menuju masuk ke Perairan Tawau.

“Semasa penahanan bot penumpang terbabit, secara tiba-tiba juragan bot telah bertindak nekad terjun ke laut bagi melepaskan diri daripada ditahan.

“Namun tindak balas pantas anggota Maritim Malaysia telah berjaya menahan semula juragan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Selasa.

Tambahnya, hasil pemeriksaan didapati juragan berumur 32 tahun dan 12 orang lelaki masing-masing berumur awal 18 hingga 61 tahun terbabit merupakan warga Indonesia tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta cuba memasuki negara melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Kesemua barangan termasuk bot penumpang, enjin bot, barangan peribadi disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM30 ribu.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di Perairan Timur Sabah (ESSZONE),” ujarnya.

Beliau berharap orang ramai turut membantu Maritim Malaysia dengan menyalurkan aduan salah laku jenayah di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999.

-ZS-

Tinggalkan komen anda