
Laporan/foto: Mawarni Ismail (Kerian)/Dr Rozaimah Abu Talib (Pejabat Kesihatan Daerah Kerian)
PARIT BUNTAR, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Jalan santai sejauh 5 kilometer menjadi pengisian Program Santai Susu Ibu@Ban Pecah sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia di Tanjung Piandang, di sini pada Sabtu lalu yang bertemakan Mengupayakan Penyusuan Susu Ibu: Perubahan Bermakna kepada Ibu Bapa Bekerjaya.
Program anjuran Unit Pemakanan bersama Kelab Sukan dan Kebajikan Pejabat Kesihatan Daerah Kerian itu dimeriahkan dengan penyertaan hampir 350 orang dari sekitar daerah ini.
Pegawai Kesihatan Daerah Dr Rozaimah Abu Talib, berkata program tersebut diadakan bagi menunjukkan sokongan dan solidariti penuh tanpa mengira jantina terhadap amalan penyusuan susu ibu dalam kalangan wanita bekerjaya.
“Gimik pelepasan sepasang merpati putih dalam program ini menjadi simbolik ibu bapa bekerjaya juga mampu menjayakan penyusuan susu ibu dan bukanlah hanya anggapan umum semata-mata,” katanya.
Turut berlangsung senamrobik, pertandingan bento ibu menyusu, mewarna susu ibu dan sukan rakyat.
-ZS-