
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)
HILIR PERAK, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Peminat figura aksi tidak melepaskan peluang untuk berhimpun dan menyertai aktiviti yang diadakan sempena Teraju Anson Bay Hobby Fair 2.0 anjuran Kelab Belia Teraju (KBT) yang berlangsung di sini Ahad lalu.
Pengerusi KBT Amir Hamzah, berkata program anjuran kelabnya dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Hilir Perak dan Majlis Perbandaran Teluk Intan itu bertujuan menyediakan platform bagi peminat figura aksi dan keluarga mengisi masa terluang di samping membuka ruang untuk peniaga tempatan menjana pendapatan.
“Berbeza dengan program sebelum ini, aktiviti yang disediakan boleh disertai oleh masyarakat pelbagai peringkat umur antaranya ‘cosplay’, ‘hot wheels race’ dan ‘gunpla build’.
“Untuk kanak-kanak, terdapat pameran haiwan eksotik dan permainan gelongsor disediakan. Pertandingan Vespa tercantik dan pertandingan mewarna turut dianjurkan buat pengunjung yang berminat,” ujarnya.
Menurut Pegawai Belia dan Sukan Daerah Hilir Perak Norfarahin Anwar@Anuar, ramai yang merindukan program Hobby Fair ini sejak penganjuran kali terakhir pada tahun 2018.
“Kementerian Belia dan Sukan akan terus memberi sokongan dan kami ucapkan tahniah kepada KBT kerana berjaya menganjurkan program ini buat kali kedua,” ucapnya ketika merasmikan program.
-ZS-