
Laporan/foto: Rajeswari Anbazagan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Program Gotong-Royong Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, di sini kelmarin bertujuan menerapkan amalan nilai kebersihan dalam masyarakat untuk memastikan penjagaan kebersihan tempat tinggal setempat dan tempat awam adalah terjamin.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil semangat bergotong-royong adalah sesuatu yang tidak ditelan zaman.
“Peranan serta usaha antara masyarakat dan agensi yang berkaitan amat penting dalam mewujudkan ikatan kerjasama erat untuk memastikan pengurusan kebersihan kawasan awam dalam keadaan terbaik.
“Hubungan bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama masyarakat berpisah tiada dan objektif utama program ini adalah untuk membersihkan kawasan perumahan serta menjalinkan kerjasama erat antara persatuan penduduk terutama di Lembah Pantai,” katanya.
Seramai 200 peserta daripada agensi kerajaan seperti PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pelajar-pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) serta warga penduduk PPR Kampung Limau telah mengambil bahagian dalam program gotong royong ini.
Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid.
-ZS-