Laporan/foto: Nurul Ain Johari/Mazlin Basir (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat bersama Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Daerah Batu Pahat yang berlangsung di Dewan Balora Ayer Hitam, dekat sini semalam bagi mengubah stigma masyarakat terhadap penyakit mental.
Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Batu Pahat Amirul Akmal Sohor, kesihatan mental boleh terjejas disebabkan masalah sosio-ekonomi, pertukaran keadaan persekitaran atau sosial secara mendadak, tekanan di tempat kerja dan penyakit fizikal.
“Ramai yang beranggapan kesihatan mental adalah sakit mental dan kefahaman itu sebenarnya salah dan masyarakat perlu mengubah stigma mereka terhadap kesihatan mental,” ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon, berkata Negeri Johor telah mencatatkan peningkatan kes kesihatan mental serta gangguan emosi melebihi 20 peratus, sejak penularan COVID-19 tiga tahun lepas dan perkembangan itu cukup membimbangkan memandangkan ia perlu dikendalikan dengan baik supaya tidak berlarutan sehingga membawa kepada isu kesihatan lain.
“Stigma, diskriminasi dan tanggapan buruk terhadap masalah kesihatan mental yang masih tinggi di dalam keluarga, komuniti dan tempat kerja boleh mengganggu hubungan yang sihat, interaksi sosial, suasana persekitaran dalam pembentukan kesejahteraan hidup seseorang dan terhadap sesebuah komuniti.
“Kita juga perlu memperuntukkan masa untuk diri sendiri dengan melakukan aktiviti relaksasi atau kerohanian seperti berzikir atau melakukan meditasi secara berkala, malah mengurangkan penggunaan media sosial juga boleh membantu kesihatan mental kita. Mempelajari dan menguasai kemahiran baharu juga boleh membantu membina keyakinan dan mengukuhkan kesihatan mental seseorang individu,” katanya.
Turut hadir Pegawai Kesihatan Daerah Batu Pahat Amirul Akmal Sohor, Timbalan Pengarah Perubatan HSNI Noridawati Abdul Manap, Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat Suhaimi Ismail dan Penghulu Mukim Sri Gading Kawasan Ayer Hitam Norhisham Mohmad (Muhamad).
-ZS-