Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Warga Labuan Berharap Rasai Limpahan Belanjawan 2024

By 27 Oktober 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Haziq Ruslain (Labuan)

LABUAN, 27 Okt (Malaysiaaktif) – Warga Labuan berharap dapat merasai limpahan daripada Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini khasnya dalam membangunkan sektor pendidikan dan pelancongan di wilayah itu.

Menurut seorang tenaga pengajar di Pusat Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan Mazri Mohamed Yunus, peruntukan sebanyak RM58.7 bilion kepada sektor pendidikan mampu memberi manfaat terutama kepada pembangunan infrastruktur sekolah di dalam dan luar bandar.

“Semoga peruntukan ini juga akan disalurkan ke Labuan terutama untuk pembangunan Kolej Tingkatan Enam seperti yang pernah dijanjikan sebelum ini untuk memberi manfaat kepada pelajar-pelajar tempatan,” katanya semasa ditemui media, di sini semalam.

Sementara itu Penolong Kurator Kanan, Jabatan Muzium Labuan Nazli Ho pula berpandangan peruntukan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan mampu menjadikan Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.

“Saya harap peruntukan ini dapat disalurkan ke Labuan sebagai salah satu destinasi pelancongan kerana Labuan diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan pada tahun 2021 selain kaya dengan keunikan budaya, tempat bersejarah dan sebagainya sekali gus merancakkan semula ekonomi masyarakat di sini selepas mengharungi cabaran semasa penularan COVID-19,” katanya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda