Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

42 Peserta Jayakan Program Malaysia Active @ Motorsport Klass 4×4 KBS

By 17 November 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Muhammad Amizan Lokman (Hulu Perak)

GERIK, 17 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 42 peserta berjaya menamatkan kursus Malaysia Active @ Motorsport Klass 4×4 Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Peringkat Negeri Perak 2023 anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Perak melalui Pejabat Belia dan Sukan Daerah yang berlangsung di Kawasan Rekreasi 4×4 Kampung Padang Stang, di sini semalam.

Menurut Pegawai Belia dan Sukan Daerah Khairul Anuar Mohd Taharin, 43, program ini melibatkan klinik sukan permotoran yang dijalankan secara fizikal di seluruh negeri merangkumi sukan bermotor dua roda dan empat roda dengan kerjasama persatuan dan badan induk sukan permotoran.

“Kursus ini mampu memberi pendedahan kepada para belia mengenai cara mengendalikan jentera 4×4 dengan selamat dan kaedah yang betul mengikut peraturan dan undang-undang.

“Selain itu, program ini juga dapat mengurangkan gejala sosial dalam kalangan belia serta membanteras aktiviti lumba haram dan rempit,” katanya.

Terdahulu, program dimulakan dengan aktiviti pendaftaran dan diikuti kelas pengenalan mengenai teori serta asas teknikal. Menariknya lagi, peserta turut diberi peluang memandu jentera 4×4 di lapangan menerusi sesi praktikal.

Peserta, Muhammad Nor Azman Mohd Nadzri, 26, meluahkan rasa bertuah kerana dapat merasai pengalaman memandu jentera yang sebelum ini hanya dapat dilihat dari kaca televisyen.

“Memandu jentera ini pastinya tidak sama berbanding memandu kenderaan biasa di jalan raya malah memerlukan keberanian kerana melibatkan jalan yang tidak rata,” katanya.

Seorang lagi peserta, Noor Idayu Mat Zubir, 26, berkata kursus ini memberi satu pembelajaran baru kepada dirinya.

“Sebelum ini, memang tidak pernah terfikir untuk menceburi sukan ini namun selepas mencubanya ternyata ia amat menyeronokkan,” ujarnya gembira.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Penolong Pengarah JBSN Perak Mohd Khairol Kamis.

-ZS-

Tinggalkan komen anda