
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA
SHAH ALAM, 17 Nov (Malaysiaaktif) – Pengerusi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Ts Zainah Rujihan menyarankan para usahawanan menerapkan nilai-nilai etika, keadilan dan tindakan yang baik tanpa mencari keuntungan semata-mata.
Katanya, golongan usahawan juga perlu mengambil inisatif memberikan manfaat kepada komuniti, masyarakat dan negara yang seterusnya memacu ekonomi yang benar-benar bermakna.
Sehubungan itu Zainah memaklumkan pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Keusahawanan POLYCC Zon Selangor dan WPKL serta Institusi Pendidikan Indonesia (KAWAN 2023).
“KAWAN 2023 mengangkat tema ‘Usahawan Madani Pemacu Ekonomi’ bagi mencerminkan semangat keusahawanan yang diterapkan dalam rangkaian nilai dan etika yang baik selari dengan kesejahteraan masyarakat.
“Karnival ini bagi membudayakan ilmu perniagaan dan amalan terbaik perniagaan kepada para pelajar di samping platform mendapat lebih pendedahan serta pengalaman menerusi sesi perkongsian dan pameran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan KAWAN 2023 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Pengarah Akademik PSA Ts Dr Ahmad Aftas Azman, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSA Ts Mohd Firdauz Mhd Radzi serta Rektor Universitas Pamulang, Indonesia Dr E Nurzaman yang mengikuti secara atas talian.
KAWAN 2023 disertai 200 pelajar POLYCC Zon Selangor dan WPKL serta 100 mahasiswa Universitas Pamulang, Indonesia dengan matlamat melihat pelajar di kedua-dua negara berani mengambil risiko menjalankan perniagaan di peringkat antarabangsa.
Ia menampilkan usahawan-usahawan graduan dan pelajar daripada kedua-dua negara yang telah berjaya menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang serta beberapa agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Bank Islam Malaysia Berhad.
-ZS-