Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Diskusi Perpaduan Semarak Semangat Patriotisme

By 16 November 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)/Norfazila Ahmad (PNS)

SEREMBAN, 16 Nov (Malaysiaaktif) – Lebih 600 orang pelajar dan kakitangan Politeknik Nilai serta pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sekitar Negeri Sembilan menghadiri program Diskusi Perpaduan: Chit Chat 2023 Menuju Kegemilangan (Towards Glory) Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Sri Putra, Politeknik Nilai, di sini semalam.

Menurut Nor Azizah Abdul Malik yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan Tengku Hajah Zamrah Tengku Sulaiman, program seperti ini merupakan medium yang dapat meningkatkan semangat jati diri dalam kalangan mahasiswa serta menyemarakkan lagi semangat patriotisme terhadap negara tercinta.

“Pembentukan budaya bersifat inklusif antara masyarakat majmuk di negara ini kekal berpanjangan serta diwariskan kepada generasi akan datang dan ianya merupakan manifestasi daripada budaya Malaysia yang unik, bersatu dan kuat.

“Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk meningkatkan pemahaman, penghayatan serta pengalaman rukun negara dalam diri mahasiswa di mana ia menjadi satu medium saluran ilmu mengenai perpaduan negara serta memupuk etika dan nilai mahasiswa sebagai masyarakat yang berintegriti tinggi,” katanya.

Katanya lagi, selain itu juga ia bertujuan menerapkan nilai masyarakat madani dalam memperkasakan identiti nasional.

Program tersebut merupakan anjuran bersama Sekretariat Rukun Negara Politeknik Nilai dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Sembilan.

Antara panel jemputan yang hadir adalah Mantan Ketua Pengarah JPNIN Datuk Baharin Idris, Dr. Haji Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dan Alumni Politeknik Nilai Zul Khairi Zainal Hisham.

-ZS-

Tinggalkan komen anda