Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Memperjuangkan Adat Resam, Edna Jessica Majimbon Wanita Pertama dilantik Ketua Daerah

By 15 November 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak/Edna Jessica Majimbon (Sabah)

KOTA KINABALU, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Menjadi wanita pertama sebagai Ketua Daerah di Mahkamah Anak Negeri (MAN) Kota Kinabalu bukanlah satu tugas yang mudah dan memerlukan pengorbanan yang besar buat Orang Kaya Kaya (OKK) Edna Jessica Majimbon.

Selama tiga tahun berkhidmat sebagai Ketua Daerah, beliau mengenepikan segala persepsi negatif bagi mengukuhkan moralnya terutama ketika turun padang bersemuka dengan masyarakat termasuklah di perkampungan luar bandar.

Menurut Edna, pelantikan beliau adalah satu penghormatan tertinggi buatnya sebagai seorang wanita yang turut mewarisi sejarah penglibatan keluarga besar ‘Majimbun’ dalam dunia perundangan sekaligus memastikan kebajikan kaum-kaum yang tinggal di luar bandar terpelihara dan adat resam mereka terjaga.

“Kalau mengikut penelitian daripada bapa saya, Datuk saya, OKK Majimbun Majangkin mula dilantik menjadi Ketua Daerah Kota Kinabalu oleh Gabenor British pada tahun 60-an sehinggalah sekarang ini. Selepas itu jawatan yang sama disandang oleh ayah saudara saya OKK John Majimbun sekitar tahun 1981 hingga 1985.

“Bila selepas itu ayah saya OKK Datuk Eric Majimbun sekitar tahun 1987 hingga 2004 sebelum berhenti untuk menggalas tanggungjawab sebagai ahli Parlimen Sepanggar yang kemudian diteruskan oleh ayah saudara saya OKK Datuk William

Majinbon sehinggalah sampai kepada saya sehingga hari ini,” katanya semasa ditemubual JaPen Sabah di MAN Kota Kinabalu di sini pada Rabu.

Beliau menambah, biarpun tugasnya itu agak mencabar, keluarganya sentiasa ada untuk memberi sokongan dan nasihat selain mendapat motivasi daripada fail perbicaraan serta doket peninggalan datuknya yang masih disimpan rapi di pejabat berkenaan.

“Pada mulanya bila saya masuk ke pejabat saya nampak semua doket ada hasil tulisan datuk saya sendiri di mana saya dapat merasakan bagaimana keadaan dia dahulu ketika menjabat jawatan Ketua Daerah dengan bahasa naskah lama tahun 60-an.

“Ayah saya yang banyak memberi dorongan dan meyakinkan saya untuk mampu menggalas tugas ini, ia memberi saya semangat untuk tahu lebih mendalam tentang mahkamah , jadi dia sediakan saya dengan semua buku rujukan berkaitan. Saya bersyukur juga didampingi Ketua Anak Negeri (KAN) Roger Impou dan KAN yang lain,” ujarnya lanjut.

Di penghujung bicara, ibu kepada tiga cahaya mata itu berharap sosoknya di mahkamah tersebut mampu membuktikan kepada wanita di luar sana bahawa mereka mampu untuk menghadapi apa jua cabaran dan tidak takut untuk mencuba sesuatu yang baharu demi sebuah kejayaan.

Untuk makluman, Ketua Daerah Kota Kinabalu bertanggungjawab dalam urusan tadbir di setiap MAN melibatkan KAN, wakil KAN, ketua kampung dan juga kapitan yang turut merangkumi beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti Telipok, Menggatal, Inanam, Karambunai termasuk Tanjung Aru dan Sembulan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda