Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Kempen Derma Darah Mendapat Sambutan Penduduk Perai

By 6 November 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: S.Shanmuganathan (Seberang Perai Tengah)

PERAI, 6 Nov (Malaysiaaktif) – Kempen derma darah anjuran Pusat Khidmat ADUN Perai di Dewan Taman Chai Leng, di sini semalam mendapat sambutan penduduk.

Program yang bermula sejak awal pagi itu dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai agensi kerajaan termasuk agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.

Antara aktiviti yang diadakan adalah kempen derma darah, pertandingan mewarna kanak-kanak, saringan kesihatan percuma, ujian penjagaan kesihatan pendengaran, pendaftaran derma darah, ujian pap smear, latihan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan lain- lain.

Seorang penderma darah, Rashid Abas, 45, berkata program ini memberi peluang kepada penduduk setempat untuk bersama-sama berbakti kepada masyarakat dengan mendermakan darah.

“Program ini juga mampu meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menderma darah daripada aspek kesihatan serta keperluan untuk rawatan pesakit,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai Datuk Seri Sundarajoo Somu, berkata program ini menyasarkan seramai 120 orang penderma bagi membantu menampung keperluan bekalan darah negara dan ini memberi lebih peluang untuk menyelamatkan nyawa orang lain.

Turut hadir Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Inderawasih, Datuk Ng Hooi Lai, Pengerusi MPKK Taman Chai Leng Tan Hock Chai, Pegawai Pegawai Seranta DUN Perai Mohan Ramasamy.

-ZS-

Tinggalkan komen anda