Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Legakan Dahaga Dengan Minuman RM1!    

By 16 November 2023Tiada komen2 minit bacaan
Rafizi-Vending
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hisham Salleh

KUALA LUMPUR, 16 Nov (MalaysiaAktif) – ATLAS Vending Sdn Bhd, pengendali mesin layan diri makanan dan minuman terbesar di Malaysia dan Singapura, telah mengumumkan kerjasama bersama Kementerian Ekonomi, dengan melancarkan Kempen Penyegar Dahaga RM1.

Menurut syarikut induknya, Etika Sdn Bhd, kerjasama ini diadakan bagi menyokong inisiatif berterusan kerajaan di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), dalam memperkasakan golongan berpendapatan rendah melalui penggunaan mesin layan diri yang tersedia di seluruh negara.

“Kami percaya setiap langkah kecil boleh membawa perubahan yang besar. Dengan kerjasama ini, kami mengorak langkah untuk memperkasakan masyarakat kita dengan setiap teguk minuman,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Etika, Santharuban Thurai Sundaram.

Dengan pengumuman kerjasama ini, minuman RM1 iaitu: air mineral, Revive Isotonic, Pepsi Black, boleh didapati di 3,210 mesin layan diri di seluruh negara.

Ketika berucap di majlis pelancaran kempen tersebut, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata, inisiatif ini bukan hanya mengenai minuman RM1 sahaja, tetapi ia juga meliputi kerjasama bersama dengan rakan kongsi dan pihak berkepentingan untuk memberi fokus terhadap keterangkuman sosial dan kebajikan rakyat Malaysia.

“Sejak pelancaran inisiatif mesin layan diri di bawah IPR, ramai rakyat Malaysia daripada kumpulan berpendapatan rendah telah mendapat manfaat daripada pilihan makanan mampu milik yang disediakan oleh vendor yang mengendalikan mesin layan diri ini” ujarnya.

Beliau juga komited untuk memperluaskan perlaksanaan inisiatif mesin layan diri ini  membabitkan lebih ramai pemain di sektor swasta, agar ia tidak terhad hanya di premis atau lokasi awam — sekaligus mampu memenuhi permohonan IPR yang kini mencecah 30,000 permintaan.

Di bawah IPR, pihak Kementerian memberi tumpuan kepada tiga modul utama untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan golongan berpendapatan rendah iaitu: Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Tinggalkan komen anda