Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Penggunaan Sistem DGIM dalam Pengurusan Bencana Negara

By 23 November 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rozaimi Herman Zakaria/Mohd. Suhaimi Latif (Sepang)

PUCHONG, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Penggunaan Sistem Defence Geospatial Information Management (DGIM) akan dapat memastikan pengurusan bencana khususnya dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pada 11 November yang lalu dan dijangka berlarutan hingga Mac 2024 akan dapat diuruskan secara cekap dan sistematik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali, berkata sistem ini dibangunkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan diguna pakai secara berpusat di Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) yang beroperasi 24 jam sehari.

“Segala data dan informasi di dalam DGIM seperti banjir, tanah runtuh, air pasang besar, lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS), kemudahan awam semuanya diintegrasikan oleh agensi seperti Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).”

“Sistem DGIM ini sebenarnya kita telah mula gunakan sejak dari awal tahun ini dan insya-Allah pengurusan bencana banjir pada tahun ini akan dapat kita uruskan dengan lebih cekap dan sistematik berbanding pada tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Madani Siaga Bencana Bersama Media dan Rakan NADMA di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Pulau Meranti, di sini hari ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda