Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Bermula dengan RM50, Kini Jana Puluhan Ribu Sebulan

By 12 Disember 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nooraini Che Aziz/Maznah Ngah (Terengganu)

KEMAMAN, 12 Dis (Malaysiaaktif) – Bermula dengan hanya RM50 sebagai modal permulaan, kini Salwiyah Idris, 34, berjaya menghasilkan 500 kilogram sehari produk sejuk beku berasaskan ikan seperti bebola ikan, kek ikan dan bebola ikan keju.

Tempoh tujuh tahun bukan singkat untuk pengasas Mikail Food menempuh ujian dan cabaran membangunkan perniagaan dalam sektor pemprosesan dan pengedaran makanan sejuk beku halal milik bumiputera.

“Tercetusnya idea untuk menghasilkan sendiri bebola ikan bermula apabila anak saya gemar memakan bebola ikan.

“Ketika itu saya telah diuji dengan masalah kewangan kerana berhenti kerja menyebabkan saya nekad untuk menghasilkan sendiri bebola ikan dan pada masa yang sama tahap kebersihan dan status halal lebih terjamin,” katanya.

Berkat kegigihan anak jati Kemaman itu, perniagaan secara kecilan yang bermula di rumah sejak tahun 2016, kini mampu menyewa dua buah lot kedai dilengkapi pelbagai peralatan memproses serta dibantu oleh lapan orang pekerja berkemahiran.

Pada mulanya beliau mengambil inisiatif mendapatkan maklumat tentang bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan secara dalam talian dan menerima dana pertama melalui Program Agropreneur Muda di bawah Kementerian Pertanian.

Salwiyah turut menjalani kursus dan latihan yang disediakan di Pejabat Perikanan Negeri dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Selain itu, beliau turut mendapat dana daripada SME Corporation berjumlah RM30,000 untuk tujuan pembelian mesin vakum, peti sejuk, mesin kisar dan peralatan memproses lain.

“Cabaran terbesar dalam tempoh ini adalah produk menjadi rosak dan basi mengakibatkan kerugian wang ringgit yang besar dan pada masa yang sama pelanggan turut beralih arah,” jelasnya.

Kini, selain membuka peluang pekerjaan, Mikail Food turut menawarkan peluang pemasaran kepada ejen dan stokis pada harga kilang.

Beliau yang kini sedang menyambung pelajaran di peringkat Master dalam bidang Pengurusan Eksekutif (EMBA) berharap agar lebih ramai generasi muda menceburi bidang keusahawanan pada masa akan datang.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda