Laporan/foto: Fasharina Kholil (Sik)
SIK, 12 Dis (Malaysiaaktif) – Perniagaan berkonsepkan vendor menjadi trend perniagaan masa kini kerana mampu menarik lebih ramai pelanggan di samping dapat membantu peniaga-peniaga kecil untuk menjana pendapatan.
Pengusaha makanan secara vendor Nuurhayati Ahmad Khasasi, 48, berkata konsep vendor ini lebih mudah kerana tidak perlu menyediakan sendiri makanan tersebut bahkan pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan dengan harga yang sangat berpatutan.
Nuurhayati atau lebih mesra disapa dengan panggilan Kakti menambah, perniagaan Vendor Bajet RM3 yang diusahakan hampir dua bulan lalu menyajikan lebih daripada 100 menu makanan.
“Kami bermula dengan produk sendiri iaitu aneka roti serta sushi sebelum mendapat idea bagi mengembangkan lagi perniagaan ini dengan konsep vendor seiring dengan trend pada masa kini.
“Selain mahu berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan, kami juga dapat membantu golongan suri rumah menjana pendapatan dan secara tidak langsung membantu meringankan beban kewangan keluarga mereka,” katanya baru-baru ini.
Menurut salah seorang pelanggan, Noriza Zakeri, 32, dia sudah beberapa kali berkunjung ke Vendor Bajet RM3 ini.
“Lokasinya yang strategik serta mudah dikunjungi antara daya tarikan untuk ke sini.
“Selain daripada itu, harga makanannya juga murah serta sedap belaka,” katanya.
-ZS-