Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

‘Uncle’ Peragasam Setia Menanti Pelanggan

By 15 Disember 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah

KANGAR, 15 Dis (Malaysiaaktif) – Kedai Gunting Rambut Peragasam yang terletak di Bangunan Bazar Melayu, Jalan Persiaran Jubli Emas kelihatan sunyi tanpa pelanggan.

Menurut Pemiliknya, Peragasam Thuraisamy, 66 menyatakan pelanggan nya kini semakin berkurangan.

“Saya pernah bekerja di luar Perlis sebagai tukang gunting rambut iaitu di Negeri Sembilan dan Johor, namun semenjak berbelas tahun yang lalu saya telah mewarisi perniagaan gunting rambut ayah saya ini,” ujarnya.

Katanya lagi, perniagaan yang dijalankan kini tidak serancak dahulu.

“Dulu ramai jugak datang, sekarang ni tak ramai, kira (jika) dapat lima orang tu ramailah,” ujar beliau sambil tergelak kecil ketika ditemui di kedainya di Bangunan Pasar Melayu, Jalan Persiaran Jubli Emas, di sini pagi tadi.

“Pelanggan yang datang kat (ke) kedai selalunya pelanggan yang biasa mai (datang), kadang-kadang macam Ahad, hari cuti ada pelanggan biasa call (hubungi) nak mai (datang) kedai, saya mai, lagipun la (sekarang) takdak (tiada) ‘customer’ (pelanggan) baru pun nak mai,” ujarnya.

‘Uncle’ Peragasam, berkata beliau akan meneruskan perniagaan ini walaupun pelanggannya semakin berkurangan.

“Sewa kedai yang dikenakan hanya RM120 sebulan.

“Walaupun pelanggan tidak ramai, saya masih mampu membuat pusingan modal,” katanya.

Harga yang dikenakan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah adalah RM10 hingga RM12 setiap seorang.

“Saya akan meneruskan perniagaan di sini yang telah saya warisi daripada ayah selagi saya sihat dan mampu,” ujar beliau sebelum menamatkan perbualan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda